Jika dahulu kisah teksi yang menyeramkan, kali ini penumpang pula yang mengerikan. Ini kami mahu kongsikan bersama anda tentang pengalaman seorang pemandu teksi yang memandu teksi di sekitar Kuala Lumpur pada lewat malam. Teksinya telah ditahan oleh seorang wanita cantik berambut panjang di tepi jalan. Persoalannya, siapakah wanita cantik itu yang menunggu teksi pada lewat malam?
Kira-kira pukul 2.00 pagi saya terjaga apabila mendengar suara operator telefon radio teksi membuat panggilan.
“Ada penumpang dari Bukit Antarabangsa nak ke Taman Tun Dr. Ismail, yang berdekatan, kawasan itu sila lapor….” suara operator halus keluar dari alat komunikasi.
Tanpa berfikir panjang saya terus meyambut panggilan dan menyatakan sanggup untuk menggambil penumpang itu. Dari Jalan Hulu Klang saya masuk ke simpang Bukit Antarabangsa yang jalannya banyak selekoh tajam.
Malangnya, kira-kira lima minit kemudian operator memberitahu supaya saya tidak terus ke kondo tersebut kerana teksi lain telah mengambil penumpang itu. “Dah dekat nak sampai ni,” beritahu saya pada operator.
“Janganlah marah, saya pun tak tau. Teksi tu tak lapor pun, tiba-tiba aja beritahu dah ambil,” suara operator membela diri.
“Okeylah saya pusing balik,” kata saya, sedikit kecewa dengan apa yang berlaku. Sudah alang-alang ada di Bukit Antarabangsa lebih baik saya teruskan perjalanan hingga ke kondo tersebut. Manalah tahu kalau-kalau adalah penumpang lain. Jika tak ada pun tak apalah, asalkan hati puas.
Sewaktu tiba di pondok pengawal, tidak ada sesiapa pun di situ. Kemudian saya buat pusingan U dan patah balik. Saya pandu kereta perlahan-lahan sambil menikmati pemandangan Kuala Lumpur dari lereng bukit. Di kiri dan kanan semuanya nampak gelap, hanya kelihatan bayang-bayang hitam pokok-pokok.
“Screeeeet!!!!!!!”
Tayar kereta berdecit apabila brek ditekan mengejut. Nyaris-nyaris saya terlanggar perempuan di tepi jalan yang sedang melambai-lambaikan tangan menahan teksi saya.
“Wow! Cantik seksinya cun melecun,” sepontan keluar dari mulut saya apabila nampak wanita dalam lingkungan 20-an memakai gaun merah pendek. Gaun tanpa lengannya ketat hingga menampakkan susuk tubuh yang menggiurkan. Saya terpaku juga dengan keayuan gadis itu.
Saya turunkan cermin tingkap untuk bertanya. Gadis berambut panjang, hidung mancung, berkulit putih dan bermata galak itu tersenyum.
“Gombak,” ringkas jawabnya dalam pelat Cina.
“Okey, boleh,” jawab saya.
Gadis itu terus membuka pintu belakang. Aamak….! Minyak wangi apa yang dipakai hingga menusuk ke hidung. Saya terus memandu menyusuri selekoh tajam jalan Bukit Antarabangsa untuk ke lebuh raya Hulu Klang kemudian ke Gombak. Sambil memandu saya sempat menjeling ke cermin, perempuan itu tersandar di kerusi dengan mata terpejam. Fikiran saya terus melayang memikirkan keberanian perempuan itu berjalan seorang diri di dalam gelap. Namun saya tidak berani bertanya kerana bimbang dituduh menyibuk.
Tiba-tiba terasa tengkuk saya disentuh jari-jemari. Sejuk seperti air batu. Saya tepis tangan gadis itu dan menyuruhnya duduk baik-baik. Namun tengkuk saya terus juga diraba dengan gaya menggoda. Saya tepis tangan perempuan itu.
“Cik, jangan buat macam tulah,” kata saya.
Perempuan itu tidak mempedulikan kata-kata saya. Dia terus juga meraba dan membelai tengkuk, bahu serta rambut saya. Kali ini saya bersuara dengan lebih keras sekali gus memandang ke cermin. Saya merenung cermin agak lama kerana tidak pasti apa yang dilihat.
“YA ALLAH! Eh! Betul ke ni?” saya bercakap sendiri. Kemudian saya pasang lampu. Perempuan itu menyeringai, mukanya menggerutu. Mengalir darah dan nanah dari kudis-kudis di pipi, dagu dan dahi. Kelihatan kedua-dua matanya tersembul keluar.
Saya terus tekan brek sekuat-kuat hati, kemudian pusing stereng untuk berpatah balik ke pondok pengawal di kondo tadi. Jari-jemari berkuku panjang terus meraba-raba dan membelai tengkuk saya. Beberapa kali saya cuba membaca ayat Qursi tapi lintang-pukang tidak tahu yang mana harus dibaca dulu. Lidah saya kelu. Kemudian saya cuba pula baca Al-Fatihah pun sama juga, tak berjaya!
Kereta yang saya pandu sekejap ke tepi sekejap ke tengah. Saya bimbang jika jari-jari itu akan mencekik leher saya. Saya tekan minyak sekuat kaki, supaya cepat sampai. Peluh dingin mengalir membasahi baju, rasa macam nak terkencing.
Lutut menggeletar, seluruh badan seram sejuk. Semakin laju kereta makin lebar perempuan itu tersengih di cermin. Hampir-hampir besi penghalang di pintu pagar kondo saya langgar.
“Tolong! Tolong!,” saya menjerit sambil membuka pintu teksi sebaik sampai ke bilik pengawa. Malangnya saya jatuh terlelepok, kaki lembik tidak mampu untuk berdiri atau berjalan. Saya cuba bangun tapi tidak berdaya, terasa lemah seluruh badan. Saya merangkak pula.
“Tolongggggggggggg!” saya menjerit lagi sambil merangkak kemudian meniarap seperti askar untuk ke pondok pengawal yang jaraknya hanya dua meter. Dua orang pengawal keselamatan berlari mendapatkna saya. “Kenapa bang?” tanya mereka dengan muka cemas. Saya hanya menunjuk ke arah teksi.
Mereka segera ke teksi tertunduk-tunduk mengintai dari cermin tingkap, Yang kelihatan hanya wanita berambut panjang memakai gaun merah. Perlahan-lahan pintu belakang dibuka dan benda putih terbang keluar dari teksi. Pengawal lari lintang-pukang masuk ke bilik dan mengunci pintu.
Uwekkkkkk! Uwekkkkkkk!
Saya hanya memerhatikan kedua-dua pengawal itu termuntah-muntah. Tidak ada apa yang mampu saya lakukan kecuali memandang sahaja. Bau bangkai dari dalam teksi mula menyelinap masuk ke lubang hidung saya. Saya cuba tahan supaya isi perut tidak terburai tapi tidak mampu. Saya termuntah sama.
Malam itu saya tidak mampu untuk memandu. Semangat hilang langsung, tambah-tambah bau itu masih melekat di dalam teksi. Menjelang subuh tiga orang kawan saya datang untuk membawa saya pulang. Teksi itu saya tinggalkan di kawasan berhampiran dengan pondok pengawal.
Sejak peristiwa itu, saya tidak berani mengambil penumpang di kawasan tersebut selepas tengah malam, walaupun ditawarkan bayaran berkali-kali ganda walaupun seribu ringgit keatas.
Sumber